Syukur terlepas tali gantung

Zaini
George Town
 – Seorang mekanik menitiskan air mata sebagai tanda bersyukur kerana terlepas dari tali gantung apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, di sini, hari ini, melepas dan membebaskannya.
Muhammad Zaini Ahmad, 25, kelihatan tenang pada mulanya mula menitiskan air mata sejurus keputusan dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Nordin Hassan bahawa dia dilepas dan bebaskan tanpa dipanggil bela diri atas tuduhan membunuh sepupunya Zamri Yope, 42, dua tahun lalu.
Nordin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammad Zaini.
Dalam penghakimannya, Nordin berkata kes pendakwaan bergantung kepada keterangan tiga saksi di tempat kejadian di hadapan rumah di Guar Jering, Bukit Mertajam di Seberang Perai Tengah pada 29 Disember 2013.
Beliau berkata berdasarkan penilaian maksima ke atas tiga saksi pendakwaan yang berada di tempat kejadian, mahkamah mendapati tiada sebarang keterangan menunjukkan bahawa tertuduh telah memukul si mati terutamanya di bahagian kepala.
“Sebaliknya, saksi-saksi pendakwaan menjelaskan si mati yang membuat serangan agresif dalam kejadian berkenaan dan yang menjadi mangsa adalah tertuduh dan ahli keluarganya.
“Elemen pertuduhan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan termasuk niat gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Berdasarkan penilaian maksima, mengikut keterangan sedia ada pihak pendakwaan gagal untuk satu kes prima facie ke atas tertuduh kerana kesalahan membunuh dan juga tidak dapat menemui sebarang tuduhan yang lebih rendah. Oleh itu, mahkamah memutuskan untuk tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil bela diri,”katanya.
Mengikut pertuduhan asal, Muhammad Zaini dari Guar Jering, Kubang Semang, dari Bukit Mertajam didakwa bersama dua lagi adik atas tuduhan membunuh Zamri, di hadapan rumahnya, kira-kira jam 10 malam, 29 Disember 2013,
Untuk itu, mereka berdepan dengan hukuman mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
Di peringkat perbicaraan, tuduhan ke atas dua adik Muhammad Zaini ditarik balik oleh pihak pendakwaan kerana gagal membuktikan penglibatan mereka dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, pertuduhan ke atas Muhammad Zaini kekal atas tuduhan tersebut mengikut kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Untuk kes ini, pihak pendakwaan menampilkan 10 saksi pendakwaan, termasuk ibu si mati.
Mengikut fakta kes, si mati dipercayai maut akibat dipukul dengan kayu hoki kerana mengamuk di tempat kejadian.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Amir Hamdzah Othman. Muhammad Zaini diwakili oleh RSN Rayer, lapor Sinar Harian.
0 Komentar untuk "Syukur terlepas tali gantung "

 
Copyright © 2014 - All Rights Reserved
Template By. Catatan Info